Monday, January 23, 2012

FOTOGRAFI: ADAKAH SEKADAR HOBI ATAU KEPERLUAN

Assalamualaikum

Bertemu lagi kita, pada hari ini saya ingin membincangkan kepada anda mengenai FOTOGRAFI: ADAKAH SEKADAR HOBI ATAU KEPERLUAN. Dunia kini semakin maju dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. Jika dahulu fotografi hanya dimiliki oleh golongan bangsawan dan proses untuk memiliki, mencetak dan mengambil gambar amat mahal. Selalunya fotografi pada zaman itu hanya berfungsi untuk mengambil gambar architechture atau gambar portraiture. ketika itu, fotografi merupakan satu medium yang menunjukkan status seseorang dan hanya mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan mampu memilikinya.Sebenarnya sejarah fotografi bermula dari seorang sarjana islam yang digelar Al Hazem yang telah mengkaji mengenai Optik. Naskah kajian itu telah ditemui oleh Joseph Nicephore Niepce yang telah berjaya mencipta teori baru dari kajian tersebut. Teori beliau ialah cahaya boleh menghasilkan imej. Terhasilah "Pin Hole Camera". Beliau juga merupakan orang pertama di dunia yang menghasilkan gambar dan mengekalkan imej gambar tersebut . (Sejarah Fotografi saya akan kupas pada entry yang akan datang).



Tetapi kini, fotografi menjadi satu bidang yang amat popular. Kita sewajarnya berterima kasih dengan bapa fotografi moden iaitu George Eastmen (Pengasas Kodak) yang telah berjaya mengembangkan bidang ini. Strategi perniagaan beliau amat bijak, dengan mengambil moto "You Press The Button, We Do The Rest" menjadi satu ungkapan yang amat popular pada ketika itu. Mana tidaknya, daripada sebuah kotak yang besar dan proses mencetak imej terlalu rumit dapat dimudahkan dengan hanya kotak kecil yang telah tersedia filem didalamnya. Pelanggan cuma mengambil gambar yang dikehendaki, menyerahkan kembali kepada kedai gambar untuk diproses dan dicetak. Pelanggan kemudiannya diberikan kembali kotak kecil itu beserta filem baru di dalamnya. Ketika itu bidang fotografi amat berkembang pesat. Jika tidak kerana inovasi George Eastmen, saya percaya bidang fotografi masih lagi tidak berkembang.



Berbalik kepada persoalan saya tadi, saya kini merasakan bidang fotografi bukan sekadar hobi, ianya menjadi satu keperluan dalam kehidupan. Dengan lambakan kamera digital dari pelbagai jenama yang menawarkan harga yang murah dapat menyaksikan senario kegilaan foto semakin menular pada seluruh masyarakat kita pada hari ini. Sebenarnya perkembangan bidang fotografi di Malaysia agak sedikit lambat jika ingin dibandingan dengan negara-negara lain seperti USA dan eropah. Disana, bidang fotografi menjadi satu kerjaya profesional yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Kita boleh melihat ramai yang membawa kamera dimana sahaja. Agak lucu juga apabila melihat ada diantara kita membawa kamera DSLR umpama membawa beg tangan. Sebenarnya membawa kamera DSLR dengan tanpa beg yang bersesuaian akan mendedahkan kamera kita kepada kerosakan. Ramai yang tidak memahami tatacara penyimpanan kamera yang betul bagi memelihara segala komponen kamera DSLR yang sememangnya amat sensitif kepada gegaran dan suhu. (SAYA AKAN BERKONGSI TIPS PENYIMPANAN KAMERA YANG BETUL PADA ENTRY YANG AKAN DATANG.

Kumpulan (Group) Fotografi semakin banyak tumbuh umpama cendawan. Saya amat gembira dengan perkembangan ini yang menandakan masyarakat kita sudah mula menerima bidang ini. Saya tidak kisah apa ideologi yang mereka bawa. Kerana setiap dari jurufoto mempunyai skil yang berbeza-beza. Ianya terlalu subjektif. Kita tidak boleh mengukur kecantikan sesuatu gambar itu hanya melalui pandangan mata, tetapi boleh menimba ilmu dengan berkongsi pengalaman dan skil foto. Untuk menjadi seorang jurufoto yang baik hendaklah sentiasa melatih dan mempunyai pengetahuan mengenai teknikal yang betul. Terlalu ramai yang mengelarkan diri mereka profesional. Tetapi istilah profesional ini sebenarnya tiada siapa yang mengiktirafnya. Kita tidak mempunyai satu badan yang mengiktiraf jurugambar profesional ini. Semuanya bergantung sekiranya seseorang jurugambar itu mempunyai portfolio yang hebat kerana mempunyai client yang berprofile tinggi dan projek yang mencecah ribuan puluh ringgit.

Cuma yang menyedihkan saya, ada jugak jurugambar yang telah merosakkan industri fotografi. Mereka tidak memahami bagaimana satu urusniaga ini dijalankan. Untuk menjadi seorang jurugambar pada dasarnya amat mudah, sedikit pengetahuan tentang fotografi, membeli kamera DSLR tidak mengira jenisnya.Ada sedikit jenis-jenis lens dan memiliki speed light. Semuanya sudah cukup menjadikan anda seorang jurugambar. Tidak ada masalahnya sekiranya mereka menjalankan urusniaga yang betul. tetapi ada diantara mereka menawarkan harga yang terlalu murah, lebih2 lagi pakej gambar perkahwinan.Cuba bayangkan bagaimana nasib jurugambar yang lain yang terpaksa bekerja mengikut pasaran yang telah diaturkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.Saya merasakan masyarakat belum memahami kualiti gambar dan meletakkan harga mengikut kualiti ganbar sebagai ukuran .

Bidang Fotografi sebenarnya merupakan satu medium komunikasi yang paling berkuasa. Percaya atau tidak hanya sekeping gambar boleh menentukan jatuh atau bangunnya ahli politik dan orang ternama. Hanya sekeping gambar boleh menceritakan apa sahaja . Itulah kuasanya sekeping gambar. Sesuatu berita itu tidak lengkap jika tiada gambar. Sesuatu kes tersebut menjadi pincang jika tiada gambar. Pendekkata, gambar amat membantu dan menjadi satu medium komunikasi yang paling berkesan.

Dengan harga yang murah dan berpatutan, saya merasakan ramai antara kita mampu memiliki kamera. Bagi saya semua orang suka gambarnya dirakamkan atau merakamkan gambar. Jika dahulu gambar adalah sebagai satu memori atau hobi, tetapi kini ianya menjadi satu dokumen penyiasatan yang penting bagi bidang fotografi forensik, mengaut keuntunggan berjuta-juta ringgit dalam bidang fotografi pengiklanan, merakamkan sejarah dan monumen penting negara, satu medium pengajaran dan pembelajaran dan sebagai satu dokumentasi pelbagai peristiwa suka duka, gelak tangis dalam bidang photojournalism. Semuanya bukti yang menunjukkan bahawa fotografi bukan sekadar hobi tetapi merupakan satu keperluan pada masa kini.

No comments: